Index» » » » » Wanita Dalam CCTV Dicari

Wanita Dalam CCTV Dicari

Selasa, 17 Desember 2013

GREENBOC 

CCTV sebuah bank di bandar ini berjaya merakam tindakan seorang wanita mengambil telefon pintar jenis Iphone 4S ditinggalkan pemiliknya di atas mesin deposit wang, sekitar jam 8 malam, 3 Jun lalu.

Berdasarkan rakaman terbabit, wanita berkenaan yang memakai baju, tudung dan seluar berwarna hitam, masuk ke dalam bank semata-mata untuk mengambil telefon bimbit tersebut.

Wanita dianggarkan berusia lewat 20-an itu dilihat keluar dan masuk semula ke dalam bank untuk melakukan transaksi di mesin sama selang seminit kemudian.

Pemilik telefon, Rosli Mustafa, 38, berkata, dia tertinggal telefonnya di mesin terbabit dan hanya menyedarinya sejam kemudian.

“Saya terus membuat beberapa panggilan, tetapi telefon saya ditutup. "Apabila saya kembali semula ke bank, saya dapati telefon bimbit saya sudah tiada,” katanya.

Rosli berkata, dia kemudiannya meminta kebenaran pihak bank untuk melihat CCTV dipasang di tempat kejadian bagi menjejaki individu yang mengambil telefonnya.

Katanya, berdasarkan rakaman tersebut, terdapat dua individu yang masuk ke bank berkenaan selepasnya.

“Individu pertama seorang lelaki menggunakan mesin sama, tetapi tidak mengambil telefon saya. Selang beberapa minit kemudian, masuk wanita terbabit.

“Saya tidak mahu berprasangka buruk, mungkin dia mengambil telefon itu untuk diserahkan kepada pihak lebih dipercayai agar dapat dikembalikan kepada saya semula,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah lebih seminggu kejadian itu berlaku, tiada sesiapa tampil untuk memulangkan semula telefon tersebut kepadanya.

“Telefon itu dibeli pada harga lebih RM2,500. Tambahan pula banyak kenangan saya dalam telefon itu. Saya harap wanita dalam rakaman CCTV ini dapat tampil dan berjumpa dengan saya.

“Kini saya sedang mendapatkan kerjasama daripada pihak bank untuk mengesan transaksi dilakukan wanita berkenaan. Jika tiada sebarang pemulangan, kemungkinan saya akan membuat laporan polis berdasarkan bukti yang ada ini,” katanya.

Pemilik kedai cermin mata Optik Jengka itu berkata, kejadian yang menimpanya itu boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya bersikap lebih jujur.

“Kalau terjumpa sesuatu yang bukan milik kita, tidak salah jika mengambilnya untuk diserahkan kepada pihak yang boleh memulangkannya kepada pemilik asal.

“Kebetulan kejadian sebegini dirakam CCTV. Kalau tidak kerana CCTV sekali pun, ingatlah ALLAH SWT itu Maha Melihat,” katanya. -SH



Tidak ada komentar:

Posting Komentar